Wednesday, April 25, 2007

Ada Pertemuan Sulit Malam Ini

LAGI tiga hari.

Sekalipun tiada ruang berceramah, namun, saya cukup gembira karena dapat membantu Keadilan di Ijok. Jumpa kawan-kawan, dan bertanya tentang Pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mei nanti. Saya jawap, "keutamaan saya sekarang, Tan Sri Khalid, di sini... kempen di Ijok."

Kawan-kawan segera faham.

Lagi tiga hari hari mengundi. Barisan Nasional (BN), dengan jentera "gempur" Pemuda mereka galak dan sombong, sejak hari penamaan calon. Usaha untuk membli jentera Pemuda Keadilan masih gagal, terutama di kampung Jaya Setia, tempat di mana saya ditugaskan.

"Saya bukan apa bang, saya ada keluarga... saya takut juga," kata salah seorang jentera pemuda Keadilan yang ditawarkan wang RM30 ribu. Jumlah itu terus meningkat hari ke hari.

"Saya cuba lindungi teman-teman semua. Selebihnya kita serah kepada Tuhan," itu sahaja jawapan saya. Dan menandang wajahnya. Dan, air pun segera bertakung di kelopak mata, dia. Dan, barangkali juga saya.

Cuba-cuba juga menulis sajak:

Pentas Senget

Satu pentas senget

Kawan-kawan dengan urat-semangat
Mereka tunduk
Tidak kalah
Demi suara dalam hati
Perjuangan yang lebih dari sebuah parti
Aku, tunduk... dalam seribu bahasa, terawang.
Ini, anak muda yang gigih batinnya.

Malam ini, ada satu lagi pertemuan sulit, yang cuba diatur oleh seorang berpangkat "datuk seri." Saya menerka, biasa, untuk memujuk, dan membeli. Dan menawarkan segala-galanya yang ada di muka bumi ini. Kalau gagal... ugut. Anak-isteri, dan apa sahaja, bisa mereka cengkam.

Itu kata mereka. Kata kita lain.

Seperti perang di sini. Bukan sahaja poster, malah, dengan polis dan FRU, polis hutan dan CID. Sekatan jalan raya, di mana-mana. Untuk ke Pekan Batang Berjuntai, sekurang-kurangnya ada tiga sekatan jalan raya kalau dari Sungai Buloh.

Saya belum pernah menyaksikan sebuah 'pesta demokrasi' yang begini hebatnya. "Hebat" itu dengan seluruh maksud yangbaik dan hitam. Kadang, apabila memandang rumah kampung yang rabak dan lecak, saya menjadi sedih akan nasib masyarakat yang sejak 30 tahun dibiar.

Malam tadi, di jalan masuk kampung Jaya Setia sudah ada lampu jalan. Di dekat jalan besar sudah ada pondok menunggu bas yang baru.

Seorang orang tua, dalam lingkungan lebih 50 tahun umurnya bercakap dengan saya, malam tadi. Katanya, dia ahli JKKK. Katanya, dia ketua penerangan Umno. Sudah tiga tahun mereka membuat permohonan untuk mendapatkan pondok menunggu bas yang baru di kampung ini, tetapi terus terabai. Tiba-tiba, bila datang pilihanraya kecil, semuanya baru. Jalan raya, lampu jalan, parit berkorek.

Sempat sembahyang Asar di Masjid Jaya Setia, dengan rombongan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas program minum petang di sini [foto sebelah], dua hari lalu. Masjid ini dapat peruntukan RM300 ribu! RM300 ribu! Tiga ratus ribu!

Kapet dibongkar, ditukar baru. Depan masjid, bilik gerakan Umno-BN. Ada dua. Umno-BN kampung Jaya Setia memang terbelah dua. Satu kelompok ketua kampung, dan satu lagi kelompok yang mahu menjadi ketua kampung.

Akidah politik saya tidak semestinya mentafsir pepecahan sebagai sesuatu yang negatif. Dalam proses demokrasi, 'perpecahan' juga boleh dianggap sihat. Saya tidak senang dengan sentralisasi. Semuanya berpusat. Bergantung kepada kuasa tunggal. Dan kekuasaan yang tunggal selalunya akan melaungkan "perpaduan" ~ seperti selalu yang kita dengar dilaungkan di kalangan pemimpin Umno-BN.

Namun, perpecahan dalam Umno di kampung Jaya Setia bukan perpecahan yang positif. Ia adalah perebutan kuasa semata. Tidak karena dengan maksud membantu masyarakat kampung. Dan, orang kampung memperlekeh kedua pihak yang berbalah itu.

Saya mendengar lagi, yang, mereka semakin tegang atas soal duit dan peruntukan. Nyata, akhirnya, duit yang peruntukan yang ditabur sejak seminggu lalu, nyaris membunuh mereka sendiri. Yang saya renungkan, tentunya, nasib orang kampung.

Nenek Yon rumahnya rumah kampung. Rumah atas. Bertangga dan rumah papan. Rumah nenek Yon dijadikan tapat ceramah. Dia tidak menyokong pembangkang sebelum ini. Malam semalam kali pertama rumahnya, dia benarnya sebagai tapak ceramah.

Kepada nenek Yon, yang umurnya lebih 70 tahun, apa lagi yang bisa saya ucapkan, selain, "terima kaseh banyak-banyak..."

Hasmi Hashim
Pekan Batang Berjuntai,
Ijok.

[kembali ke halaman utama]