Wednesday, March 21, 2007

Selepas Azmin, Fokus Angkatan Muda

Azmin Tarik Diri, Demokrasi Berdiri

SEKALIPUN mendahului dengan kelebihan empat pencalonan, tetapi “calon favorite,” Azmin Ali telahpun mengumumkan menarik diri daripada bertanding mencabar Dr Syed Husin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden. Keputusan dalam Mesyuarat Biro Politik malam tadi (21 Mac 2007) pun segera tersebar, cepat. Alasan Azmin: "untuk memelihara kekuatan dan perpaduan Parti."

Kebebasan dan demokrasi ~ dua hal yang penting akhirnya terlaksana jua. Rundingan tetap menjadi jalan di dalam demokrasi, dan, sejak lebih dua minggu lalu, demokrasi tidak sedikit pun tercalar sungguh pun Azmin terus mendapat pencalonan. Dalam Kongres lalu di Pulau Pinang, Dr Syed Husin mengumumkan yang beliau akan mengundur diri dari jawatan nombor dua itu. Baru-baru ini, beliau sekali lagi mengeluarkan kenyataan tidak akan bertanding dalam Pilihanraya Umum akan datang; sama seperti kenyataannya sebelum Pilihanraya Umum lalu.

Sekalipun sepanjang Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian (MATB), tersebar kecaman terhadap peribadi Azmin, tetapi salah seorang “team tenis” yang dikatakan tidak sabar meniti tangga kekuasaan membuat keputusan berbeza dengan suara dan "sms kritikan" terhadap beliau. Azmin juga mengumumkan tidak akan bertanding apa-apa jawatan tertinggi dalam Parti.

Semua itu cerita politik. Babak-babak dan cerita politik dalaman Keadilan sejak awal Mac lalu, sejak MATB bermula, sungguh menarik. Dengan tamatnya desas-desus Azmin akan 'mencabar' Dr Syed Husin menjadi bukti kematangan demokrasi dalam Keadilan. Itu lebih penting. Bahkan, ia sekaligus membezakan Keadilan dengan parti-parti pemerintah, termasuk Umno, yang menangguh pemilihan parti hanya semata-mata atas alasan Pilihanraya Umum sudah hampir.

Bukankah menangguh pemilihan juga bermaksud tidak percaya dengan demokrasi? Maka jelas sekali, walaupun di mulut pemimpim sesetengah parti itu mendakwa mereka percaya kepada demokrasi, sesungguhnya tidak. Mereka memang tidak pernah berminat atau ikhlas dengan demokrasi. Orang-orang politik itu, jelas, hanya berminat dengan kekuasaan. Tidak lebih dari itu.

Keadilan, terutama dalam "kasus Azmin-Syed Husin," menunjukan betapa jalan demokrasi tetap jalan terbaik daripada "kawalan dalaman" yang berpenghujung kepada matinya demokrasi dan hak asasi rakyat.

Tumpuan Beralih ke Angkatan Muda

SELAIN Pemangku Angkatan Muda, Shamsul Iskandar Mohd Akin [foto sebelah] yang sudah mendapat lebih dua pencalonan sejak awal, dan dikatakan selesa untuk ke jawatan Ketua Angkatan Muda, namun ruang persaing masih terbuka. Sehingga hari ini, masih banyak lagi AMK bahagian-bahagian yang belum mengadakan mesyuarat agungnya. Bahkan, bahagian Shamsul di Jasin, Melaka, juga belum mengadakan mesyuarat agung berkenaan.

Selain Shamsul, sejak awal bekas exco AMK, Badrul Hisham dilihat sebagai pencabar utama dan beliau segera mendapat pencalonan dari Bahagian Merbok, Kedah. Bahagian Merbok turut mencalonkan Abdul Rahman Othman sebagai Presiden. Ini membayangkan betapa kekuatan dan pengaruh Badrul sebagai "orang lama" tidak boleh dipandang enteng, termasuk oleh Shamsul sendiri.

Cuma, satu keputusan mengejutkan berlaku pada 18 Mac lalu apabila AMK Masjid Tanah, Melaka telah mencalonkan Hasmi Hashim ke jawatan Ketua Angkatan Muda. Ramai yang segera bertanya, “Siapa Hasmi?” Paling tidak, jawapannya ialah dia kini merupakan ketua bahagian termuda yang menang tanpa bertanding untuk menerajui Bahagian Parit Sulong, Johor, awal Mac lalu.

Sekalipun ramai yang beranggapan bahawa Hasmi adalah “muka baru”—walaupun beliau bersama Reformasi sejak 1998—namun Hasmi dikatakan cukup senang dengan label tersebut. Pencalonan AMK Masjid Tanah, yang kemudiannya popular sebagai "Pencalonan Masjid Tanah" dari negeri kubu Shamsul sendiri memperlihatkan rata-ratanya dianggap “muka baru.” Antara lain Masjid Tanah turut mencalonkan Nurul Izzah Anwar ke jawatan Timbalan Ketua.

Nama baru yang diketengahkan dalam senarai Pencalonan Masjid Tanah termasuklah Lee Khai Loon (Pengarah sebuah NGO), Amiruddin Shaari (bekas aktivis mahasiswa), Helme Abdul Malek (Setiausaha Bahagian Pandan) dan Mohd Farhan Affendi (Ustaz lulusan Al-Azhar). Namun, turut dicalonkan ialah muka-muka lama seperti Zamakhsari Ibrahim (Ketua AMK Kelantan), Mohd Gadaffi Kamal (Exco AMK Pusat), Syarifah Syahidah Said Kamarulzaman (Naib Ketua AMK Pusat) dan Nurin Aina Abdullah (Ketua AMK Johor).

Jalan terbaik untuk memperkukuh perjuangan dan Parti tentunya dengan muafakat, dan Azmin sudah pun membuktikan perkara itu. Namun, sesebuah perjuangan akan panjang hayat apabila barisan hadapannya, iaitu Angkatan Muda, menjadi cukup mantap.

Sebelum Kongres nanti, nampaknya gelanggang Angkatan Muda akan menjadi perhatian utama. Selepas itu barulah cerita pilihanraya.

[kembali ke halaman utama]